AFL
Syukur tekad membantu kemenangan pasukan pada aksi menentang Perlis United FC, Sabtu ini.

 PEMAIN tengah Bukit Tambun FC, Syukur Saidin meletakkan kemenangan pasukan menjadi keutamaan berbanding status dirinya selaku penjaring terbanyak pasukan selepas minggu kesembilan MBSB Bank Championship.

Syukur yang merupakan produk Piala Presiden Sime Darby (2009-2010) dan bekas pemain Pulau Pinang FA kini mengumpul enam gol selepas sembilan perlawanan dan hanya dibezakan satu mata dengan penyerang Imigresen FC, Abdul Azim Rahim yang mengungguli takhta penjaring terbanyak.

Tegasnya, tiga mata amat penting ketika ini untuk memastikan pasukan terus bersaing dan berada dalam kejuaraan MBSB Bank Championship musim ini.

“Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, sama ada saya atau pun rakan sepasukan yang lain, keutamaan kami semua ketika ini adalah kemenangan buat Bukit Tambun FC.

“Jika rakan sepasukan menjaringkan gol dan membantu kemenangan pasukan itu keutamaan kami semua.

“Seandainya saya meledak lagi dan memberi keputusan positif buat pasukan ia adalah bonus buat diri saya,” ujarnya kepada AFL.

Tambahnya lagi, kelebihan bermain ditempat sendiri perlu dimanfaatkan pasukan sambil mengharapkan sokongan padu peminat tempatan.

“Perbezaan kami dengan lawan tidaklah jauh, semua memahami corak permainan masing-masing, saya pasti mereka hadir dengan keazaman membawa pulang mata.

“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan, tempoh 90 minit diatas padang adalah penentu, bukannya diatas kertas, mana-mana pasukan yang memanfaatkan peluang pasti memenangi perlawanan ini.

“Aksi yang seimbang buat kedua-dua pasukan tetapi yang nyata kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mengakhiri perlawanan dengan kemenangan,” katanya.

Selepas berakhirnya minggu kesembilan MBSB Bank Championship, Bukit Tambun FC berada ditangga ketiga mengumpul 18 mata hasil enam kemenangan dan tiga kekalahan.

Bagi Perlis United FC pula mereka yang menghuni tangga keenam selepas menang empat, dua seri dan tiga kekalahan mengumpul 14 mata pastinya berdepan tugas sukar pada aksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

 

Syukur mengekori rapat selaku penjaring kedua terbanyak MBSB Championship setakat ini.
June 15, 2023
Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *