BEKAS pemain tengah skuad kebangsaan, Hafiz Kamal menyifatkan Liga M3 bukanlah pengakhiran buat seseorang pemain bola sepak malah saingan yang kini bertaraf semi profesional dianggap lebih kompetitif serta berkualiti.
Baginya, ketiadaan saingan Liga Perdana musim ini juga meletakkan Liga M3 antara kejohanan yang berprestij terutamanya bagi pemain yang tidak mendapat tempat dalam saingan Liga Super.
“Bagi saya Liga M3 ini bukanlah satu pengakhiran, membuka peluang pada mana-mana pemain yang tiada pasukan.
“Tahun ini saya lihat serta rasakan Liga M3 berkualiti dan rancak memandangkan ramai bekas-bekas pemain kebangsaan mahupun Liga Super menyertai pasukan Liga M3.
“Aksi Liga M3 lebih laju kerana ramai pemain muda yang berpotensi dan menjadi tempat mereka untuk mempamerkan bakat, jadi tidak timbul isu Liga M3 tiada kualiti,” tegasnya kepada AFL.
Hafiz memulakan karier bola sepak bersama Shahzan Muda dalam saingan Piala Presiden (2008-2009) sebelum dinaikkan pangkat menyertai skuad senior setahun kemudian dan meledak enam gol hasil 32 penampilan.
Pahang FA menjadi destinasi pertama Hafiz bersama pasukan negeri mulai 2012 hingga 2015 dimana ketika ini juga dia dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya (2014).
Hafiz tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan selepas menempah kegemilangan bersama Pahang dan Selangor sebelum pulang ke pasukan negeri asalnya, Perak pada musim 2017 sebelum bersama PKNP FC dua tahun kemudian.
Hafiz seterusnya bersama Harini Selangor FT (2022) dan untuk saingan Liga M3 musim ini dia menyertai Imigresen FC.
Selain Hafiz beberapa pemain berpengalaman antaranya, Ahmad Syahmim Yahya, Mohd Nasriq Bahrom, Ferris Danial Mat Nasir dan Mohamad Ashmawi Md Yakin turut memperkuatkan The Mighty Tigers musim ini.
Imigresen FC kini berada dikedudukan keempat Liga M3 manakala dalam saingan Piala FA pula bakal menentang Kuala Lumpur City FC pada pusingan kedua selepas membenam cabaran Kuala Kangsar BRM FC pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Sabtu lalu.