AFL
Selaku juara bertahan, Imigresen FC pastinya berdepan saingan sengit dari pasukan-pasukan lain.

PENYANDANG juara MBSB Bank Championship (MBC) 2023, Imigresen FC menyifatkan saingan musim 2024/25 akan lebih kompetitif dan berkualiti bakal ditampilkan pasukan-pasukan lain dalam memburu gelaran kejuaran.

Bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan namun skuad yang mendapat jolokan The Mighty Tigers ini dilihat sudah memulakan persiapan awal dengan sesi pemilihan pemain Februari lalu dan kini menjalani latihan dibulan Ramadan pada waktu malam.

Kehilangan beberapa tonggak utama Imigresen FC iaitu penjaring terbanyak MBC 2023, Azim Rahim yang menabur bakti bersama negeri kelahirannya perlulah segera diatasi dan langkah tersebut sedang giat dijalankan.

Bagi Mat Zan Mat Aris yang terus diberikan mandat dan kepercayaan untuk membimbing IFC, cabaran musim kedua pastinya berbeza dengan semua pasukan dilihat sudah bersedia mempersiapkan skuad untuk memburu kejuaraan.

“Bagi IFC musim ini kita akan diperkuatkan dengan muka-muka baharu hampir 30 peratus dan selebihnya barisan pemain sedia ada yang juga terdiri dari kakitangan IFC itu sendiri.

“Kami menyedari saingan kali ini berbeza dan sengit jadi kita telah mempersiapkan pasukan pada awal Februari lalu selain kini giat menjalani latihan sebagai persediaan mempertahankan kejuaraan.

“Kehilangan beberapa pemain bukanlah alasan buat IFC, pengurusan memberi sepenuh kepercayaan kepada pemain-pemain baharu dan sedia ada dalam pasukan, jika pemain mempertingkatkan kualiti dan memiliki mentaliti kejuaraan saya rasa tidak mustahil kita akan terus mengekalkan gelaran,” katanya kepada AFL.

The Mighty Tigers perlu segera mencari pengganti Azim yang menabur bakti bersama negeri kelahirannya iaitu Melaka FC.

Mengenai penggunaan pemain import dalam saingan kali ini, Mat Zan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan sama ada untuk menyenaraikan bersama pasukan atau sebaliknya.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan kita akan menggunakan khidmat pemain import kali ini dan saya percaya perkara ini sedang diperhalusi pengurusan IFC,” tegasnya.

Musim lalu, IFC dilihat antara salah satu pasukan bersama KL Rovers, Harini Selangor FT dan PIB Shah Alam yang diletakkan sebagai calon kejuaraan.

Kemenangan 1-0 ketika menentang Melaka FC digelanggang lawan pada aksi terakhir selain keputusan seri 1-1 dicatakan KL Rovers yang melayan kunjungan Harini Selangor FT memastikan kejuaraan mutlak buat The Mighty Tigers.

Pencapaian Imigresen FC musim 2023

Nama pasukan : Imigresen FC

Venue: Stadium UPM, Serdang

Rekod MBSB Bank Championship 2023

⁃          Menang : 17

⁃          Seri : 4

⁃          Kalah : 3

⁃          Jaringan : 53 gol

⁃          Bolos : 15 gol

⁃          Mata keseluruhan : 55 mata

⁃          Penjaring terbanyak : Abdul Azim Rahim (24 gol)

⁃          Pemain paling menyerlah :Abdul Azim Rahim

⁃          Pemain muda menyerlah : Muhammad Hazim Abu Zaid (22 tahun)  / N Javabilaarivin (23 tahún)

⁃          Pencapaian : Juara

March 25, 2024
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *